Wednesday, 15 February 2017

Apa Itu Perancangan Harta Pusaka?

Teks : Irda Rina
Foto : Irda Rina / Carian Google

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Perancangan Harta Pusaka'


Perancangan membawa maksud merencanakan, merangka atau menentukan sesuatu tindakan yang bakal dilaksanakan, bagi menghadapi perkara-perkara atau sebarang kemungkinan yang akan datang. 

Manakala harta pusaka pula dalam bahasa yang mudahnya membawa maksud sebarang harta ataupun hak yang ditinggalkan oleh seseorang setelah kematiannya. Ianya merangkumi harta alih dan harta tak alih. 

Contoh harta alih : Wang simpanan, caruman KWSP, unit amanah, deposit tetap, saham syarikat, kereta dan seumpamanya.

Contoh harta tak alih : Tanah, rumah, kedai dan seumpamanya. 



Mengapa perancangan harta pusaka itu penting? 
Dan mengapakah ianya penting untuk orang Islam? 
Bukankah sudah ada hukum faraid didalam Al-Quran?


Ramai orang Islam menyangka hartanya akan diagih secara terus kepada ahli waris mengikut Faraid. Tetapi malangnya, itu TIDAK BENAR! 

Hukum faraid tidak boleh 'berjalan' dengan sendirinya. Maksudnya, bukanlah sebaik sahaja si mati meninggal, waris akan terus mendapat harta si mati.... TIDAK, ia tidak berlaku begitu. Ia perlu ditadbir dan diuruskan sebelum ia boleh diagihkan. 


Begitu juga, ramai orang Islam menyangkakan mereka tidak perlu merancang harta pusaka kerana sudah ada hukum Faraid. Sedangkan, masih ramai yang belum tahu bahawa waris-waris mereka terpaksa melalui kepayahan terhadap proses pentadbiran sebelum harta boleh diagihkan mengikut faraid. Tanpa perancangan yang betul, proses pentadbiran akan mengambil masa yang terlalu lama sehingga memakan masa bertahun-tahun.


50 tahun baru selesai kes tuntutan tanah pusaka

Namun begitu, perancangan harta pusaka ini bukanlah untuk memudahkan waris-waris sahaja. Paling penting, ia bertujuan untuk menyelamatkan si mati sendiri di akhirat kelak terutamanya jika si mati meninggal dunia dalam keadaan masih berhutang. 

Hutang mesti dilangsaikan segera. Ini termasuklah hutang dunia seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman pelajaran, hutang dengan kawan-kawan, hutang perniagaan dan juga hutang akhirat seperti zakat, haji, fidyah, kafarah dan nazar. 

Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam bersabda,


"Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" 

-Hadis Riwayat Muslim, 6/38-

Didalam satu hadis sahih lain yang diriiwayatkan oleh Ibnu Majah pula, Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam tidak mahu solatkan jenazah yang masih berhutang sehingga sahabat Nabi yang bernama Abu Qatadah menjamin hutang tersebut. 

Selain dari isu hutang, harta si mati juga perlu dipindahkan segera kerana ia sudah menjadi hak waris-warisnya. 


Mengapakah hal ini menjadi begitu penting dan kritikal?


Kerana kelewatan boleh menyebabkan zakat terhadap harta pusaka tersebut tertangguh. Bukan itu sahaja, dikhuatiri jika ada pihak yang termakan harta tersebut secara batil. Apatah lagi jika ada bahagian untuk anak-anak yatim dalam harta tersebut. Inilah yang paling mesti dielakkan.

"Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai ia dewasa dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungan jawabnya."

-Surah Al-Isra', Ayat 34-

Impaknya menjadi lebih besar lagi sekiranya berlaku pula kematian berlapis, iaitu kematian waris asal kepada harta pusaka si mati yang belum sempat dibahagikan. Kemudian waris asal itu pula meninggalkan waris-waris lain yang ramai dibawahnya. Maka lagi panjang dan lagi lama lah proses pentadbiran jawabnya. 


Statistik tahun 2015 sudah mencecah RM66 billion


Memandangkan permasalahan sebegini, sudah menjadi kepentingan untuk mencari solusi yang terbaik agar implikasi-implikasi diatas dapat dielakkan. Buatlah perancangan harta sekarang, semasa masih hidup. 

Memanglah kalau boleh, kita rasa tidak mahu atau tidak seronok jika fikir pasal kematian. Tetapi mati itu pasti. Tiada siapa boleh nafikannya. Kita tidak akan dapat mengelak dari kematian. Malah, tiada sesiapa di dunia ini boleh beri jaminan yang kita tidak akan meninggal dunia dalam usia yang masih muda. Dan tiada sesiapa di dunia ini boleh beri jaminan yang kita tidak akan meninggal dunia dalam keadaan masih sihat walafiat. 

Oleh itu, buatlah persediaan. 
Bekalan untuk ke sana nanti. 
Juga perancangan terhadap apa yang bakal kita tinggalkan.


Bertindaklah demi......

  • Keselamatan dan ketenangan diri sendiri di akhirat kelak.
  • Kemudahan waris-waris yang bakal ditinggalkan.
  • Mengharmonikan faraid.


Perbezaan diantara pembahagian harta tanpa perancangan harta pusaka dengan pembahagian sekiranya ada perancangan harta pusaka


Irda Rina Kamarulbahrain
Perancang Harta Pusaka Islam
017-3676 177

No comments:

Post a Comment