Foto : Carian Google
Alhamdulillah, nampaknya selesai tugasan-tugasan penting untuk memulakan blog. Sebenarnya, hasrat untuk menulis blog sudah lama terpendam sejak tahun 2009 lagi. Iaitu sejak saya merasakan ingin berkongsi satu persatu pengalaman menjaga anak yang sakit kanser Neuroblastoma pada ketika itu. Niat saya ingin menulis untuk menjadi panduan dan rujukan bagi orang lain, terutamanya yang diduga dengan ujian yang sama.
Pada masa itu saya ada bina blog menggunakan wordpress. Tetapi kalau tak silap saya, sempat 2 atau 3 entri saja. Blog tu pun sudah tidak wujud rasanya. Sedangkan pada ketika itu (dan sehingga kini), masih ada rakan-rakan yang menantikan kisah-kisah pengalaman saya tersebut.
Tahun berganti tahun, saya masih berhutang cerita lagi nampaknya. InshaaAllah, sampai masa nanti saya akan 'langsaikan' hutang tersebut sedikit demi sedikit melalui Catatan Pengalaman saya didalam blog ini.
Sehinggalah pada bulan Januari lalu, Puan Arbee Ali mesej saya dan menjemput saya menyertai Kelas Asas Penulisan Blog ini. Pada masa itu memang saya sudah pasang niat untuk membuka blog baru setelah menjadi Perancang Harta Pusaka. Kerana hal ehwal harta pusaka ini kadangkala lebih sesuai diceritakan panjang lebar melalui blog berbanding di facebook.
Dipendekkan cerita, Allah memudahkan rezeki saya untuk menjadi pelajar kelas tersebut bagi Februari 2017. Saya dibimbing oleh Puan Anys Idayu Zakaria. Membuat blog dengan berguru ni lebih teratur caranya daripada hentam buat sendiri. Puan Anys mengajar langkah demi langkah. Jika ada yang tak faham atau tak menjadi, kami bebas bertanya. Biarpun kadang-kadang saya rasa soalan saya tu terlampau 'basic' juga. Tapi demi menimba ilmu, biarkanlah. Malu bertanya, sesat pula jalannya nanti.
Alhamdulillah, walaupun sekecil-kecil ilmu, ia tetap berguna untuk saya. Tetapi apa yang paling penting adalah inisiatif saya sendiri untuk konsisten menulis. Hmm..... kadang agak mencabar juga. Harap agar terus istiqamah demi berkongsi dengan pembaca.
Mudah-mudahan blog ini bukan sekadar menjadi sumber maklumat atau bahan bacaan untuk pengujung. Tetapi diharapkan agar ia menjadi ladang pahala yang berterusan juga buat saya melalui segala perkongsian yang baik dari didalam blog ini.
Pelajar Februari 2017,
Irda Rina Kamarulbahrain