Wednesday 15 February 2017

Tentang Penulis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh,

Dari serata tempat tuan puan datang,
Ingin memetik ilmu di halaman,
Terima Kasih kerana sudi bertandang,
Salam Perkenalan saya hulurkan. 


Nama penuh saya Irda Rina binti Kamarulbahrain. Boleh panggil saya Irda atau Kak Irda. Saya dilahirkan pada 4 Septemer 1978. InshaaAllah, tahun depan sudah masuk angka 40an. Saya berasal dari Taiping, Perak. Ibubapa saya masih di sana, manakala saya kini menetap di Setia Alam, Shah Alam, Selangor. Saya merupakan anak sulung dari empat adik beradik.


Aidilfitri di Taiping, 2016

Saya juga adalah suri hidup kepada suami yang kini berkhidmat sebagai Perunding Hartanah. Boleh lawati website suami saya di www.azamproperty.com. Hasil perkongsian hidup kami, saya telah dianugerahkan tiga orang anak, tetapi anak sulung telah kembali ke hadrat ilahi ketika usianya 2 tahun 8 bulan. Alhamdulillah, kini saya masih memegang amanah membesarkan sepasang cahaya mata. 

Pendidikan awal saya bermula di SRK Convent Kota, Taiping, Perak. Sehinggalah awal Tingkatan 4, saya masih bersekolah di sekolah perempuan iaitu Sekolah Menengah Convent, Taiping. Setelah itu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Persiaran Brash (kini dikenali sebagai Kolej Vokasional Ipoh). Seronok sangat dapat merasa hidup berasrama bersama kawan-kawan. 


SM Convent Taiping, Perak

Setelah tamat persekolahan, saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Pengajian Bank di Universiti Teknologi MARA, Arau, Perlis pada tahun 1996. Seterusnya, saya menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) di kampus yang sama pada tahun 1999. 

Kerjaya pertama saya bermula sebaik saja saya menamatkan pembelajaran pada tahun 2001. Sebagai penerima biasiswa Maybank, saya diterima bekerja di Jabatan Perbankan Korporat di Tingkat 37, Menara Maybank. Saya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan portfolio-portfolio pinjaman yang diberikan oleh Maybank kepada syarikat-syarikat korporat. Menyediakan proposal kredit bagi menganalisa kredibiliti sesebuah syarikat korporat adalah tugas utama saya pada ketika itu. Bermula dari situ lah saya banyak menaip sambil menyampaikan analisa kewangan didalam kertas kerja. Pengalaman bekerja ini amat bernilai buat saya kerana disini saya banyak menimba ilmu kewangan dan korporat.

Menara Maybank, Jalan Tun Perak


Kemudian, saya bertemu jodoh dengan suami saya. Suami saya sebenarnya rakan sekolah semasa di Sekolah Menengah Teknik Ipoh dahulu. Tetapi kami tidak pernah berkawan semasa di sekolah. Kami mula berkenalan dan rapat apabila menyertai aktiviti perjumpaan bekas rakan-rakan sekolah setelah memasuki alam pekerjaan. Lucu juga bila dikenangkan. Apatah lagi apabila mengenangkan reaksi kawan-kawan lain setelah mendapat tahu kami berkawan rapat dan bakal berkahwin. Maklumlah, suami saya dahulu pelajar yang sangat nakal dengan berbagai kes disiplin. Saya pula, pelajar yang berimej baiklah kononnya. Hehehe... Begitulah percaturan jodoh ditangan Allah. Tiada siapa menyangka, tiada siapa menduga. 

Setelah hampir 5 tahun di Maybank, saya bekerja pula dengan Credit Guarantee Corporation Berhad, Cawangan Kuala Lumpur, untuk menimba pengalaman baru. Tambahan pula, saya baru mendirikan rumahtangga ketika itu dan tinggal berdekatan dengan pejabat. Bidang kerja masih sama, cuma kali ini portfolio saya beralih ke syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pula. Saya sempat berkhidmat selama 2 tahun disini. 

Pada tahun 2008, saya dan anak berpindah ke Labuan untuk mengikut suami saya. Suami saya bekerja dengan syarikat minyak dan gas ketika itu. Alhamdulillah, saya diterima bekerja di Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) sebagai Pegawai Eksekutif Kanan, Jabatan Khidmat Kewangan dan Polisi. Kehidupan di Labuan sangat tenang dan menyeronokkan. Walaupun tidak terlalu membangun seperti bandar-bandar di Lembah Klang, tetapi ia sudah memadai, mudah dan selesa. Saya cintakan kerjaya, rakan-rakan, komuniti dan segalanya disana. 

Namun, rezeki saya untuk terus tinggal di Labuan cuma setakat 2 tahun sahaja, walaupun saya sangat sayangkan segalanya disana. Saya meletakkan jawatan dan pulang berpindah ke semenanjung tanahair setelah kehilangan anak sulung saya akibat Kanser Neuroblastoma, Tahap 4. Sebelum itu, saya dan suami sempat mengambil cuti selama 8 bulan kerana menjaga anak kami ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Sime Darby Medical Centre (SDMC), Subang Jaya. 


Ujana Kewangan, Labuan

Itulah kerjaya terakhir saya. Sedar tak sedar, saya telah menjadi surirumah sepenuh masa selama 6 tahun dan menjaga sepenuhnya dua buah hati yang Allah berikan setelah Allah mengambil kembali anak sulung. 

Selama menjadi surirumah, macam-macam jenis perniagaan 'online' saya usahakan supaya saya ada "kerja". Saya bermula dengan perniagaan buku-buku Islamik Kanak-Kanak dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2011. Alhamdulillah, kini sudah 7 tahun saya dan suami menjadi pengimport buku-buku Islamik Kanak-Kanak dalam Bahasa Inggeris melalui perniagaan kami, Hepta Generation Enterprise. Perniagaan ini cuma dijalankan secara 'online' melalui laman facebook Treasures for Little Hearts. Saya juga ada menjalankan perniagaan lain seperti kelengkapan rumah di laman facebook Sweet n Solace

Tahun 2017 membuka lembaran baru bagi saya apabila saya mula berkhidmat sebagai Perancang Harta Pusaka Islam yang dilesenkan oleh aS-Salihin Trustee Berhad dan Perunding Takaful dengan PrudentialBSN Takaful. Tugas ini tidak memerlukan saya bekerja di pejabat. Jadi saya masih menganggap diri saya sebagai seorang surirumah. Hanya sekali sekala keluar bertemu dengan pelanggan yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan perancangan dan pentadbiran harta pusaka. 

Saya minat membaca artikel-artikel menarik dan sentiasa ingin mempelajari perkara baru bagi menambah nilai ilmu pengetahuan dalam diri saya. Saya juga sangat minat dengan seni kraf seperti bunga, penggunaan manik, renda, hantaran dan kraf perkahwinan. Saya juga minat menaip. Kalian pun boleh lihat kan... betapa panjangnya karangan saya ;-)


Antara hasil kraf kahwin yang saya pernah hasilkan dulu

Saya minat menaip memandangkan pengalaman kerja saya dahulu sememangnya kerjaya yang banyak menaip. Cuma bezanya ketika di alam pekerjaan, kertas kerja dibuat dalam Bahasa Inggeris. Kini saya perlu menambah kemahiran dalam penulisan Bahasa Melayu pula. 

Saya amat berharap agar dapat menambah kenalan, menimba pengetahuan dan meraih pengalaman bernilai dengan menyertai Akademi Bekerja dari Rumah (ABDR). Mudah-mudahan penyampaian saya didalam blog ini mudah difahami dan gemar dibaca oleh orang ramai. 

Besar harapan saya agar saya dapat kongsikan sebanyak mungkin pengetahuan tentang perancangan dan pentadbiran harta pusaka dengan umat Islam di Malaysia. 

Semoga segalanya bermanfaat untuk kita bersama.


Irda Rina Kamarulbahrain
Perancang Harta Pusaka Islam /
Surirumah /
Usahawan Online


No comments:

Post a Comment